Rata-rata rakyat Malaysia terutamanya yang
beragama Islam hari ini kurang pengetahuan tentang wasiat. Wasiat sering
disalahertikan di mana ramai yang beranggapan wasiat adalah kata-kata
atau pesanan seseorang mengenai hartanya sebelum meninggal dunia.
Sebenarnya, wasiat adalah dokumen bertulis yang mengandungi ikrar
ataupun hajat seseorang yang dibuat ketika hayatnya ke atas harta atau
manfaatnya untuk dilaksanakan selepas kematiannya.
Masyarakat Islam harus sedar bahawa penulisan wasiat bukanlah
bermatlamat untuk menidakkan hukum faraid. Penulisan wasiat bertujuan
memudahkan proses pentadbiran dan pengagihan harta pusaka dan sekali gus
nasib waris-waris dapat dipelihara.
Berikut adalah antara masalah-masalah yang kerap timbul akibat ketiadaan wasiat:
a) Proses pengagihan harta pusaka berlarutan sehingga bertahun-tahun
b) Nasib waris-waris tidak terbela khususnya anak-anak yang berumur 18 tahun ke bawah
c) Suami / isteri tidak mendapat bahagian harta sepencarian
d) Hutang tertunggak
e) Proses perundangan yang menyulitkan waris-waris
f) Hubungan kekeluargaan di kalangan waris-waris terjejas
g) Manipulasi terhadap harta pusaka
h) Perniagaan tidak dapat diteruskan
Manakala berikut adalah senarai individu-individu yang perlu membuat wasiat:
a) Anak
b) Suami / Isteri
c) Individu yang tiada anak
d) Individu yang mempunyai anak di bawah 18 tahun
e) Individu yang mempunyai anak tiri / angkat
f) Individu yang hanya mempunyai anak perempuan
g) Ibu / Bapa tunggal
h) Pemilik saham syarikat
Ramai yang masih berandaian bahawa harta-harta seseorang akan secara
automatik diagihkan kepada wars-waris setelah berlaku kematian. Tetapi
malangnya, pelbagai proses yang kompleks perlu dilalui oleh waris-waris
sebelum harta peninggalan dapat diagihkan. Mengikut perangkaan Amanah
Raya Berhad (ARB), harta pusaka kira-kira bernilai RM15 bilion ketika
ini tidak dapat diagihkan dan terbeku disebabkan masalah perwarisan.
Harta-harta tersebut sebenarnya boleh dimanfaatkan oleh waris-waris yang
sah dan layak sekiranya wujud wasiat.
Individu-individu yang perlu membuat wasiat tidak semestinya yang
kaya-raya. Dengan hanya berhartakan contohnya RM5000.00, seseorang itu
perlu juga membuat wasiat sama ada harta itu berupa harta alih seperti
akaun simpanan atau harta tak alih seperti tanah. Tiada sesiapa yang
mahu waris-warisnya bersusah-payah turun naik mahkamah dan sebagainya
semata-mata untuk mendapatkan harta peninggalan mahupun dalam usaha
melunaskan hutang-hutang si mati.
Nafsu dan perasaan manusia terlalu rumit untuk diramalkan. Keadaan
keluarga yang harmoni pada hayat kita boleh bertukar menjadi haru-biru
dan berpecah-belah disebabkan kelemahan pentadbiran ataupun perebutan
harta peninggalan kita. Justeru itu, ingin ditekankan di sini bahawa,
melalui penulisan wasiat, pelbagai komplikasi jangka panjang mahupun
jangka pendek boleh dielakkan selain menjamin kesejahteraan institusi
kekeluargaan.
Sabda Nabi S.A.W:
Harta dunia adalah milik Allah S.W.T, kita hanyalah sebagai pemegang
amanah yang dipertanggungjawabkan untuk menguruskan dan mentadbirnya
sebaik mungkin mengikut syariat Islam.
http://www.jcorp.com.my/mutiara/wasiat-dalam-masyarakat-islam-29-17.aspx