Wednesday 9 March 2016

Persediaan Kewangan Sebelum Persaraan

Mahu atau tidak, semua orang akan bersara pada satu hari nanti. Tetapi adakah anda telah bersedia daripada segi kewangan untuk bersara? Kebanyakan orang bergantung sepenuhnya kepada faedah persaraan (retirement benefits) yang diperoleh untuk menampung kehidupan selepas bersara. Menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia pada tahun 2011, jangka hayat penduduk Malaysia dianggarkan selama 72.0 tahun untuk lelaki dan 77.1 tahun untuk perempuan. Oleh sebab jangka hayat manusia yang semakin meningkat, persoalan yang mungkin timbul ialah adakah wang yang dikumpulkan untuk tujuan persaraan atau pencen mencukupi untuk menampung tahap kualiti kehidupan yang diinginkan, ditambah pula dengan meningkatnya kos perubatan serta sara hidup. Oleh itu, sama ada anda bercadang untuk bersara pada usia 55 tahun atau lebih awal lagi, apa yang penting adalah anda perlu melengkapkan diri dengan perancangan kewangan yang dapat menjamin kehidupan yang memuaskan serta bebas daripada bebanan hutang setelah bersara.

 Bagaimana untuk menyiapkan diri untuk bersara?

 Soalan ini kerap bermain dalam fikiran orang ramai apabila membincangkan isu persaraan. Namun, tiada jawapan yang khusus untuk soalan ini kerana ia banyak bergantung kepada gaya hidup yang diinginkan, tahap kesihatan dan juga keadaan seseorang itu selepas bersara. Berikut adalah beberapa langkah yang boleh diambil untuk menyiapkan diri anda dari segi kewangan sebelum bersara:

Langkah 1: Tetapkan keperluan kewangan anda
 Perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menilai keperluan kewangan anda. Setelah bersara, perbelanjaan seperti pakaian ke pejabat, kos pengangkutan / perjalanan ke tempat kerja, makanan dan sebagainya sudah tiada lagi. Walau bagaimanapun, perbelanjaan lain seperti kos perubatan, insurans dan lain-lain lagi mungkin akan meningkat. Secara amnya, keperluan perbelanjaan seorang pesara itu dianggarkan dalam lingkungan 75% hingga 80% keperluannya ketika masih bekerja. Berdasarkan keperluan ini, anda perlu membuat penyelarasan yang sesuai dengan mengambil kira situasi unik anda, seperti kos pendidikan anakanak dan pembayaran pinjaman perumahan untuk menganggarkan perbelanjaan bulanan yang perlu ditampung. Selain perbelanjaan tetap yang dikenakan, anda juga perlu mengambil kira jika terdapat kemungkinan gaya hidup anda akan berubah. Jika anda berhajat untuk mengembara, bercuti, ataupun mempunyai hobi-hobi lain yang melibatkan wang, anda perlu mengambil kira kos-kos ini ketika membuat perancangan persaraan.

 Langkah 2: Menilai status semasa
 Setelah menetapkan keperluan kewangan, langkah seterusnya ialah menilai kedudukan kewangan semasa dan membuat pelan untuk menampung keperluan persaraan kelak. Di sini, anda perlu memberi perhatian kepada portfolio pelaburan yang merangkumi simpanan tambahan serta pendapatan anda. Senaraikan juga semua komitmen kewangan yang perlu dijelaskan. Sekiranya anda masih bekerja, anggarkan jumlah wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau pencen yang bakal anda terima.

 Langkah 3: Mengira wang yang diperlukan 
Setelah selesai mengumpulkan semua maklumat di atas, anda boleh mendapatkan nasihat daripada perancang kewangan ataupun mana-mana laman web yang menyiarkan artikel-artikel mengenai perancangan persaraan yang boleh anda contohi dalam usaha untuk menyiapkan diri daripada segi kewangan sebelum bersara. Ini penting untuk menilai sama ada wang anda sekarang mencukupi atau tidak untuk memenuhi keperluan persaraan kelak. Jika jawapannya tidak, sekurang-kurangnya, anda boleh mengira berapa banyak lagi wang yang diperlukan. Sebagai contoh, keperluan tahunan Ali ialah RM50,000 (lebih kurang RM4,000 sebulan). Dia menganggarkan bahawa wang simpanan persaraannya akan menjana pulangan sebanyak 7% setiap tahun. Oleh itu, Ali memerlukan sekurang-kurangnya RM714,286 (RM50,000 / 0.07) dalam simpanannya untuk menampung perbelanjaan persaraannya. 

Langkah 4: Berdisiplin dalam Merancang Kewangan 
Untuk mengekalkan kuasa beli wang anda, pastikan ia berkembang sekurang-kurangnya pada kadar yang sama dengan kadar inflasi untuk mengimbangi kesan negatif inflasi. Ini berdasarkan kepada andaian bahawa anda ingin mengekalkan wang simpanan persaraan sepanjang hidup dan menyimpan amaun prinsipal untuk anak-anak anda. Sebaliknya, jika anda tidak keberatan untuk membelanjakan wang persaraan anda, jumlah wang yang diperlukan pastinya lebih kecil. Namun, dalam masa yang sama, berhati-hati dalam merancang kewangan anda. Elakkan daripada membuat pengeluaran wang sewenang-wenangnya dan pastikan ia mencukupi untuk menampung perbelanjaan sehingga akhir hayat anda. Di samping itu juga, anda mungkin mahu mengambil kira kesan kuasa pengkompaunan kerana lebih awal anda memulakan pelan simpanan persaraan, maka lebih mudahlah anda mencapai matlamat kewangan yang ditetapkan. Setelah menetapkan jumlah wang yang diperlukan, langkah seterusnya ialah untuk memberikan komitmen penuh kepada jumlah yang hendak disimpan dan menguruskan portfolio pelaburan anda dengan cara yang sepatutnya. Semakin hampir kepada umur persaraan, maka semakin rendahlah risiko yang perlu diambil. Oleh itu, elakkan daripada mengambil risiko yang tinggi hanya kerana anda kini dalam peringkat pertengahan umur dan baru mula untuk merancang wang yang diperlukan. Jika anda mengalami situasi ini, dapatkan nasihat profesional kewangan yang berlesen. Akhir kata, berbelanjalah mengikut keperluan dan cuba maksimumkan simpanan anda untuk waktu persaraan. Apa tunggu lagi? Mulakan pelan persaraan anda sekarang! 

Artikel ini ditulis oleh SIDC dan En. Ooi Kok Hwa, pemegang Lesen Wakil Perkhidmatan Pasaran Modal untuk menjalankan urusan nasihat pelaburan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007. Maklumat yang terkandung di dalam atikel ini ialah untuk tujuan pendidikan semata-mata dan tidak boleh dianggap sebagai pengganti untuk nasihat perundangan atau mana-mana nasihat profesional yang lain. 

http://www.bnm.gov.my/?ch=109&pg=824&ac=62&bb=file

1 comment:

  1. Fikir pasal persaraan ni kdg2 menakutkan jugak...

    Nama aku Chris, Umur 36. India. I bagitau race pasal nak bagitau awal2 mmg tak layak utk asb.

    Ni my plan.
    I ni self employed. So gaji tetap takde. So, sebolehnya I tak nak ambik pelan yang I kena commit sebulan rm200 atau sebulan rm500.
    Kat luar berlambak, tapi mostly kita kena commit 1 amount.

    Yang aku amik....

    1) maybank silver savings account.
    Caranya senang aje... Kita pi maybank abaq yg kita nak bukak silver savings account. 1st time kena beli 10 gram rasanya... Masa I beli dulu 1 gram Rm1.91. Pas tu Bila2 ada duit, beli je... Tup tap Tup tap, now ada sekilo silver. Harga dia pun dah naik. Selling price kt maybank 2 hari lepas aku check Rm3.51.

    2) Maybank gold savings account.
    Sama mcm silver tdi, ni gold. Gold ni mahal skit, so beli sikit2 je... Ada duit, beli segram... Takde duit, buat de je la...
    Tup tap Tup tap, dah 4 tahun, dan dalam account ada 80 gram emas...
    Beli time dulu satu gram ada yg aku beli rm151. Ada jugak rm163. Tgk market price la..
    Skrg selling price dia rm249 segram.

    3) simpan duit dalam EPF, Caranya self contribution. Epf ni, kalo kita fikirkan, mmg gold mine...pasal apa, every year dia bagi kita 5%. So, otak aku ckp, kalo aku masuk rm10000 dlm tu, pas tu biar 20 tahun.
    Lepas 20 tahun, duit dlm tuu ada rm20k tau. Sekali ganda.

    Simpan kat Epf ni kena ada disiplin la. Kita bajet satu amount setiap bulan. Yg tu wajib kita transfer.
    And then, ni la cara aku yg seterusnya. Aku bajet sehari nak blanje rm30. Contoh la ada org belanja aku lunch n masa balik ada duit Rm8 lagi kat aku. Rm8 ni aku transfer masuk Epf. Basically hari2 kita masuk Epf. Tak kesah Rm1 atau rm100, janji masuk Epf.

    Based on my cara, I amik retirement plan yg takde fixed commitment. Ada banyak masuk banyak. Takde, buat de je la...

    Plan aku cengini... Kumpul dlm Epf tu sampai kena 500k.
    Bila dah tak leh keje, katakan la 60 years... Kita hidup based on dividend.

    500k, dgn dividend 5%, dapat lah rm25k setahun.
    Lebih kurang 2k sebulan. Kalo dividend lebih, masyuk la tahun tuu...
    If ada emergency, just keluarkan from Epf...

    ReplyDelete