Wednesday 9 March 2016

KEPENTINGAN MELABUR DI USIA MUDA

  • Pelaburan bermula dengan mempunyai duit yang lebih. Malangnya, tidak ramai di antara kita mempunyai lebihan wang sama ada bekerja sendiri atau makan gaji. Kalau berlebihanpun, bukanlah seberapa kerana keperluan masa kini amat mencabar sehinggakan kadang-kadang pendapatan gagal berlebih malah tidak mencukupi. Di sinilah titik tolak yang akan membezakan orang yang merancang dengan orang yang tidak merancang. Kita hendaklah bijak berbelanja dan memperuntukan sebahagian pendapatan untuk membolehkan kita melabur. Pelaburan yang disandarkan kepada pinjaman semestinya akan rendah nilai apabila diambil kira modal yang tertakluk kepada keuntungan pihak ketiga yang memberi pinjaman.
  • Melengkapkan diri dengan kemahiran pengurusan kewangan. Seseorang individu hendaklah berbelanja dengan bijak untuk mengelak dari membelanjakan kepada perkara-perkara yang tidak memberi nilai tambah. Pendapatan yang banyak bukan bermakna seseorang itu kaya. Yang penting adalah bagaimana kita mengurus kewangan kita. Perbelanjaan perlu diutamakan kepada perkara asas yang menyumbang kembali kepada sumber pendapatan. Perbelanjaan sepatutnya berdasarkan keperluan utama dan bukan berdasarkan kepada pengaruh lain seperti iklan, rakan dan sebagainya. Sekiranya perbelanjaan dikaitkan dengan perkara-perkara sampingan, beban membayar nilai perkhidmatan atau barangan tersebut akan ditanggung oleh kita sendiri. 

  • Memahami pelaburan. Pelaburan adalah tindakan atau satu proses yang diambil pada wang atau aset kita dengan menjangkakan pulangan pada masa akan datang iaitu memperolehi hasil daripadanya. Seperkara yang perlu diberi perhatian adalah hasilnya tidak semestinyapositif. Oleh itu, kita mestilah mengkaji dengan terperinci sebelum sesuatu pelaburan membawa hasil sebagaimana yang dijangkakan. Kita perlu bukan sekadar mengetahui istilah-istilah pelaburan seperti risiko, pulangan, nilai masa duit, inflasi dan sebagainya tetapi tahu mengaplikasikan. Unsur-unsur penting pelaburan yang perlu didalami adalah:
    • Pelaburan jangka pertengahan kepada jangka panjang seperti kita jangkakan pulangan untuk tempoh 10 tahun ke 20 tahun akan datang.
    • Pelaburan hendaklah dibuat ke atas pelbagai asset atau industri dengan taburan yang sepatutnya.
    • Risiko yang minima berbanding pulangan atau pulangan secara relatif.
    • Mengambil kira kesan inflasi sebahagian daripada kos atau jangkaan kos inflasi.
  • Mengambil bahagian dalam pelaburan dengan kepelbagaian bidang seperti kewangan, hartanah atau sumber manusia seperti kemahiran tertentu yang bersesuaian dengan matlamat jangka panjang kita. Membangunkan kemahiran diri dengan menambah pengetahuan bagi kemahiran tertentu seperti membaikpulih kenderaan, menulis artikel kepada majalah-majalah dan sebagainya juga merupakan pelaburan.
Bertindaklah sekarang dengan membuat caruman ke akaun pelaburan sedia ada atau melakukan pelaburan sendiri. Adalah disarankan supaya pelan persaraan bermula dengan menguruskan pendapatan sedia ada dan dilaburkan di tempat yang terjamin serta boleh diharapkan. Unit trust, mutual fund or Amanah Saham Bumiputra (ASB) adalah salah satu contoh pelaburan yang baik. Kenapa? Kerana institusi ini mempunyai orang yang berkelayakan yang memang bekerja memberi keuntungan kepada pelabur. Memang ada kos ke atas perkhidmatan mereka tetapi sekurang-kurangnya kita tidak membayar dalam kerugian sekiranya kita kurang arif membuat pelaburan sendiri. Seperkara lagi yang tidak kurang pentingnya adalah mengenai peruntukan pelaburan perlu diasingkan dari peruntukan kecemasan. Peruntukan pelaburan tidak digalakkan digunapakai dalam keadaan kecemasan. Pelaburan yang didepositkan hendaklah tidak dikeluarkan walau apa keadaan sekalipun. Memandangkan banyak perkara yang perlu kita lakukan, biarlah orang yang mahir melakukan pelaburan bagi pihak kita.

Penekanan penting di sini ialah kesedaran tentang pentingnya tindakan awal, kemahiran mengurus kewangan, disiplin diri yang tinggi serta perancangan yang rapi. Berilah peluang hidup kita merdeka dari krisis kewangan yang dialami hasil dari kegagalan sendiri. 

 

No comments:

Post a Comment