Wednesday 6 April 2016

PENTINGNYA WASIAT

PENTINGNYA WASIAT 
 
(keratan akhbar KOSMO!)
SEJAK ibunya meninggal dunia lima tahun lalu, Masyitah Mohamed, 54, masih buntu memikirkan urusan hal tanah pusaka milik ibunya. Meskipun hal tersebut sudah diketengahkan kepada adik-beradiknya untuk mencari penyelesaian, Masyitah pula dituduh yang tamakkan harta.

Hakikatnya, beliau mahu meringankan beban yang ditanggung arwah ibu. Lebih malang, isu tersebut menyebabkan dia dan adik-beradiknya tidak bertegur sapa.

"Sejak itu saya tidak lagi membangkitkan isu tanah tersebut. Mereka sukar dibawa berunding. Saya sedar bahawa masalah akan menjadi semakin rumit jika seorang demi seorang daripada kami meninggal dunia," katanya yang mempunyai lapan beradik.
Masyitah mungkin merupakan salah seorang daripada ribuan masyarakat Islam yang berdepan dengan masalah tersebut. 

Hakikat ini diakui sendiri oleh Md. Ghazali Ibrahim, 41, yang berpengalaman menyiapkan lebih 5,000 surat wasiat secara sukarela sebelum ini. 

Menurut adik kepada bekas penyanyi utama kumpulan nasyid Rabbani, arwah Ustaz Asri Ibrahim itu, orang- orang dahulu mereka lebih gemar berwasiat dengan mulut sahaja tanpa dokumen yang akhirnya menimbulkan masalah.
Sebab itulah, kata Md. Ghazali, apabila berlaku kematian, adik-beradik perlu duduk berbincang dan dokumenkan apa yang pernah disuarakan oleh ibu bapa.

"Buat surat persetujuan sebelum ke pejabat pusaka dan mahkamah. Orang kita tidak faham, apabila sebut sahaja faraid, ia jadi wajib. 

"Memang faraid wajib jika menemui jalan buntu. Kita perlu juga ingat wasiat si ayah ketika masih hidup, sepakatlah adik-beradik," saran beliau ketika ditemui di Bangunan Tabung Haji, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Tuntutan membuat wasiat ini, ujar panel program kuliah Solat di TV AlHijrah itu turut termaktub dalam al-Quran, surah al-Baqarah ayat 180 hingga 182, "Diwajibkan ke atas kamu membuat wasiat apabila datang tanda-tanda kematian."

http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0605&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm
 

0 comments:

Post a Comment