Thursday 7 April 2016

RANCANG KEWANGAN ANDA

Sebenarnya, adalah lebih baik kita merancang persaraan kita lebih awal. Bagaimanapun, adalah baik untuk memupuk tabiat menyimpan pada usia muda. Bahkan menabung patut menjadi amalan hidup kita. Apabila kita bersara, adalah bijak untuk tidak hanya mengharapkan simpanan KWSP kerana kemungkinan simpanan kita itu tidak mencukupi untuk menampung kehidupan yang selesa ketika persaraan.
 
Mengikut kaji selidik yang dijalankan oleh Bank Negara Malaysia pada tahun 2010, secara purata, tahap celik wang rakyat Malaysia yang menghampiri umur persaraan adalah jauh lebih rendah, manakala sikap terhadap pengurusan kewangan juga didapati kurang memberangsangkan, berbanding bagi rakyat Malaysia daripada kumpulan umur lain.

dengan merancang kewangan, kita berupaya mengelakkan perbelanjaan berlebihan, hutang tidak terurus, kebankrapan atau kebergantungan kepada orang lain. Kita juga dapat mengeratkan lagi hubungan peribadi dengan orang sekeliling kita, seperti keluarga, kawan-kawan dan rakan sekerja kerana kita gembira dengan kehidupan kita dan tidak perlu pinjam-meminjam wang untuk memenuhi keperluan atau mengharapkan sumbangan daripada orang lain.

Selain itu, kita juga akan bebas daripada kebimbangan kewangan kerana kita telah merancang bagi masa depan, menjangka perbelanjaan dan mencapai matlamat peribadi hidup dan mampu menjadi lebih efektif untuk mendapatkan, menggunakan dan melindungi sumber kewangan kita sepanjang hayat, bukan bagi diri kita malah bagi mereka yang tersayang. Dengan erti kata lain, apabila kita mempunyai pelan kewangan peribadi yang terurus, kita lebih arif tentang keperluan masa depan dan sumber yang sedia ada. Kita juga mendapat ketenangan kerana mampu mengawal segalanya.

Merancang kewangan adalah satu proses di mana seseorang individu merancang masa hadapan dalam memenuhi matlamat peribadi dan kewangan melalui pembangunan dan perlaksanaan perancangan kewangan yang menyeluruh. Secara praktikal, perancangan kewangan adalah segala yang berkaitan dengan mengurus kedudukan ekonomi atau kewangan seseorang individu dengan mengambil kira perkara-perkara yang ingin dilakukan seperti berkahwin, membeli aset seperti kereta atau rumah, merancang untuk mendapatkan anak serta perancangan pendidikan anak. Melalui perancangan kewangan, kita dapat mengenal pasti cara-cara membuat belanjawan, menabung dan membelanjakan wang dalam suatu tempoh masa yang tertentu. Selain itu juga, ia adalah panduan untuk membantu kita mencapai sesuatu matlamat pada masa hadapan.

Amat penting bagi setiap individu untuk membuat perancangan kewangan secepat mungkin terutama bagi mereka yang mula memasuki alam pekerjaan. Jika yang sudah lama bekerja, tetapi masih lagi belum membuat sebarang perancangan, masih lagi belum terlambat. Tidak kira di titik mana kita berada tetap tidak terlewat untuk membuat sebarang perubahan ke arah kehidupan yang lebih baik. Merancang perbelanjaan dengan bijak dapat menyelamatkan kita daripada mengalami krisis kewangan. Tanpa perancangan yang rapi, banyak perkara yang tidak dapat kita melakukannya dengan baik.

1 comment:

  1. Check your savings capital and the income in retirement that you would like can be met with your current savings and pension plans. Please get more info on retirement planning.

    ReplyDelete